Saturday, 1 January 2011

Sejarah Pusat Pendidikan Ummah

Pusat Pendidikan Ummah (PPU) diwujudkan pada Mei 2000. Ia adalah atas inisiatif pengasas Maahad al Islah, Almarhum Ustaz Sulam Hj. Mansor. Bangunan Pusat Pendidikan Ummah merupakan milik Maahad al Islah, sekolah menengah agama rakyat di Sg. Lampam. Keupayaan Maahad al Islam memiliki bangunan sendiri merupakan keupayaan sekolah agama rakyat mengurus pentadbiran dan kewangan sekolah dengan baik. Segala sedekah, zakat dan sumbangan orang ramai disalurkan untuk membangunkan ummah. Ini penting bagi memastikan segala amal jariah para dermawan terus berpanjangan selagi PPU terus berkhidmat. Penubuhan PPU adalah bertujuan untuk mengembangkan khidmat sosial kepada masyarakat Teluk Intan khususnya kepada umat Islam.

PPU menyediakan perkhidmatan pembelajaran agama seperti yang dilaksanakan oleh Kelas Fardhu Ain (KAFA). Kelas-kelas dan pengajaran diadakan secara lebih ekslusif bagi memberikan keselesaan kepada para pelajar. Ini termasuk penggunaan kelas berhawa dingin, had pelajar bagi satu kelas dan pengajaran secara multimedia.

Perkhidmatan ini terbuka kepada semua lapisan umur. Kanak-kanank yang berusia 7 tahun boleh mendaftar sebagai pelajar samada untuk kelas pagi, petang ataupun malam. Manakala kelas pengajian al Quran untuk orang dewasa juga diadakan.

PPU juga menyediakan kelas-kelas untuk disewa bagi kegunaan komersil oleh pihak yang berminat. Selain menyediakan perkhidmatan pengajaran agama, PPU juga menganjurkan kursus-kursus kemahiran jangkapendek.

Peringkat awal, PPU diurus oleh Muhaimin Sulam yang merupakan bekas Penolong Kanan 1 Maahad al Islah. Beliau bertanggungjawab bagi memajukan PPU sebagai salah sebuah pusat pendidikan Islam yang berkemampuan memainkan peranan untuk membangunkan ummah. Selepas beliau melanjutkan pengajian peringkat Phd di United Kingdom, tugas beliau diambil alih oleh Ustazah Khamadah Sulam yang juga merupakan Guru Besar Madrasah al Ibtidaiah, Sg. Lampam.

PPU merupakan antara institusi ataupun syarikat yang awal membuka perkhidmatannya di Bandar Baru Teluk Intan selepas dibuka. Tempoh 11 tahun beroperasi membayangkan PPU mempunyai kekuatan tersendiri. Kesungguhan dan keikhlasan para petugasnya adalah kualiti yang melayakkan PPU terus berdaya maju hingga sekarang.

Hasil sumbangan dan sokongan orang ramai, PPU mampu bertahan sehingga sekarang. Perkhidmatan PPU adalah berorentasikan kebajikan dan tidak menjadikan keuntungan material sebagai keutamaan. Pun demikian, sumbangan daripada orang ramai tetap diperlukan bagi meningkatkan lagi kualiti pengurusan dan pembelajaran di PPU.

No comments:

Post a Comment